Monday, March 21, 2011

GADIS NEGERI SEMBILAN

Suasana di daerah pedalaman ini tenang dan tenteram. Alam di kelilingku di hiasi dengan pohon-pohon kayu yang segar menghijau. Tidak jauh dari rumah kediamanku kelihatan sawah yang luas terbentang di pagari oleh Banjaran Titiwangsa. Aku merasa bertuah dapat mencurahkan khidmat bakti di negeri Adat Perpatih ini. Keramahan penduduknya dan keindahan alam semula jadinya menjadikan aku merasa bahagia bertugas di sini.


Namun aku sedar, sejak aku menjejakkan kaki di sebuah perkampungan yang letaknya jauh di pedalaman ini, hati ibuku kerap dilanda perasaan bimbang. Dia bimbang jika anak kesayangannya terpikat dengan gadis Negeri Sembilan.


Kerana itulah, sejak aku menerima surat tawaran bertugas di kawasan pedalaman ini, ibuku melambakkan pesanan supaya aku berhati-hati jangan sampai terpikat dengan gadis negeri Adat Perpatih.


" Teruk sangatkah Gadis negeri sembilan itu,?" tanyaku sekadar memancing perbualan.
Ibuku yang sedang memasukkan pakaian ke dalam beg kelihatan termenung seketika sebelum menjawab pertanyaanku. " Mak dah dengar macam-macam cerita mengenai gadis Negeri Sembilan ni."
Menurut ibuku, sesiapa yang berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan kena ikut Adat Perpatih. Kena masuk suku, harta pusaka mesti diwarisi oleh orang perempuan. Jika bercerai, suami kena keluar dari rumah hanya dengan sehelai sepinggang. Dan apa yang paling menakutkan hati ibuku bila jiran kami Mak Joyah mengatakan gadis Negeri Sembilan pandai menggunakan ilmu pengasih untuk memikat jejaka yang berkenan di hatinya.


Kata Mak Joyah lagi, bila sudah berkahwin Gadis Negeri Sembilan pandai menggunakan ubat guna-guna untuk menundukkan hati suami. Akibatnya suami kena kontrol oleh isteri. Si suami lupa hendak balik ke rumah orang tuanya dan takut hendak menghulurkan duit gaji kepada orang tua atau adik beradiknya.


Sesungguhnya, itulah yang paling membimbangkan hati ibuku. Dia takut sungguh kalau aku berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan. Bagi ibu kalau boleh biarlah aku berkahwin dengan gadis pilihan hatinya. Gadis yang sudah dikenal hati budi dan jurai keturunannya. Kerana itu siang malam, pagi petang ibu berdoa semoga aku tidak berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan. Dan setiap kali aku balik ke rumah bila cuti ibu tidak lupa memberi nasihat kepada aku, anak kesayangannya.


Kata ibuku, pandai-pandailah menjaga diri bila berada di negeri orang. Mulut jangan celupar, berhati-hati memilih kawan, berwaspada bila makan minum di rumah orang dan paling penting, kata ibu berulangkali, jangan berkawan rapat dengan gadis Negeri Sembilan.


Selalunya bila diberi nasihat oleh ibu, aku hanya tersenyum sambil mengatakan Insyaallah. Memang begitu sikapku tidak banyak cakap bila berhadapan dengan ibu. Apatahlagi membantah kata-katanya. Tambahan pula aku tak mahu jadi anak derhaka kerana aku tahu anak derhaka tidak dapat mencium syurga. Sikap dan pengakuanku itu dapat meredakan perasaan ibu.

Tetapi berlainan pula dengan ayahku. Dia selalu membela aku.
" Anak kita tu bukannya budak-budak. Dia sudah dewasa dan ada pelajaran. Fikirannya sudah matang untuk merancang masa depannya. Lebih lagi dalam hal memilih pasangan hidupnya. Kita doakan sahaja semoga dia hidup bahagia dunia dan akhirat." Kata ayah sambil matanya terus menatap akhbar Jawi di tangannya..
" Saya takut Amri berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan," kata ibuku pula.
" Jodoh pertemuan Allah yang menentukan. Jika ditakdirkan Amri bertemu jodoh dengan gadis Negeri Sembilan, apa boleh buat. Kita terima sajalah!," ayah juga tak mahu mengalah. Aku faham benar sikap ayah. Dia suka berterus terang dan bersikap terbuka.


Tetapi ibuku masih berkeras. Ibu mengatakan dia tidak mahu aku berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan. " Saya pun tahu jodoh pertemuan Allah yang menentukan. Tetapi Allah beri peluang untuk kita berusaha. Dan saya akan berusaha supaya anak kita tidak beristerikan gadis Negeri Sembilan."


Hari demi hari yang berlalu terasa begitu cepat peredarannya. Di siang hari aku menghabiskan masa mencurahkan ilmu mendidik anak bangsa yang hauskan ilmu pengetahuan. Di malam hari aku ke masjid solat berjemaah atau menghadiri majlis ilmu untuk bekalan akhirat. Kini sudah genap satu tahun aku bertugas di Negeri Sembilan. Dan apa yang paling ditakuti oleh ibuku sudah menjadi kenyataan.

Kepulanganku pada pagi hari minggu itu membawa berita yang sungguh tidak menyenangkan hati ibu. Aku melahirkan hasrat di hati untuk menyunting gadis Negeri Sembilan.
" Saya berkenan pada dia, Mak. Kami dah sama-sama jatuh cinta," kataku berterus terang.
" Kalau dia dah suka, kita ikut sahaja. Baik kata dia, baiklah kata kita. Sebab yang nak kahwin, dia, bukannya kita," Seperti yang kuduga, ayah akan menyebelahi aku.
" Saya tak setuju dengan gadis pilihan anak kita itu," bentak ibuku.
" Mak tak setuju kerana dia gadis Negeri Sembilan?" tanyaku pula dengan nada suara yang lembut.
" Gadis Negeri Johor ni apa kurangnya. Gadis macam mana berkenan di hati kau?. Hendak yang kulitnya putih melepak, nak yang hitam si tampuk manggis, yang kurus atau yang gemuk semuanya ada. Serahkan saja kepada mak untuk mencarinya," kata ibuku.
" Kenapa kamu ni benci sangat dengan gadis Negeri Sembilan?. Bukankah mereka juga manusia seperti kita, bangsa Melayu dan beragama Islam..." kata ayah dengan nada suara yang masih ditahan-tahan.


Sebenarnya aku juga ingin menanyakan perkara yang sama. Tetapi ayah yang mendahuluinya. Lagipun masih ada perasaan hormatku terhadap ibu. Sesungguhnya aku ingin menjadi anak yang baik. Seingatku sejak kecil tidak pernah menyakiti hati ibu. Cuma kali ini sahaja mungkin sikapku telah menyakiti hatinya.


" Saya takut anak kita kena kontrol nanti. Sebab orang Negeri Sembilan berpegang kepada Adat Perpatih yang bertentangan dengan syariat islam," ibuku meluahkan kebimbangannya.

" Mana awak tahu Adat Perpatih bertentangan dengan syariat Islam?" tanya ayah pula.
" Memang betul, bang. Contohnya dalam pembahagian harta pusaka. Mereka tak ikut hukum faraid. Anak lelaki lansung tak dapat mewarisi harta pusaka sebab yang berhak menerimanya orang perempuan sahaja," jawab ibu sambil melahirkan rasa kesalnya.
" Sebenarnya, begini, Mak…." Aku cuba meredakan suasana. Paling aku bimbang jika terjadi pertengkaran antara ibu dengan ayah disebabkan aku. " Selama setahun sayang bertugas di Negeri Sembilan, saya dapat memahami adat istiadat mereka termasuk sistem adat perpatih."
" Betul ke Adat Perpatih tu bertentangan dengan hukum Islam?" tanya ayah pula.
" Masyarakat Melayu di Negeri Sembilan juga seperti kita. Beragama Islam dan mengamalkan ajaran islam. Sembahyang mereka, puasa mereka dan pegangan agama mereka sama seperti kita."
" Bagaimana pulak dengan pembahagian harta pusaka?. Apakah mereka ikut hukum Islam?. Hukum agama kita?" tanya ibuku.
" Dalam sistem Adat Perpatih diutamakan hak kaum wanita. Tujuannya supaya nasib kaum wanita itu terpelihara dan terjamin masa depannya. Kerana itu kebanyakan wanita di negeri sembilan tidak ada yang teranianya kerana dilindungi oleh keluarga mereka."

" Aida anak Pak Cik Seman kau tu apa kurangnya. Dia bersopan santun dan berbudi bahasa. Orangnya pun cantik. Mak berkenan sangat dengan budak tu. Kalau Amri bersetuju mengambil dia menjadi isteri, biar mak yang menguruskan segalanya," Ibuku cuba mengalih tajuk perbualan.


" Ini soal masa depan saya, Mak. Berilah peluang kepada saya untuk memilih siapa ibu kepada anak-anak saya. Apa yang penting, bakal isteri saya tu orang yang saya cintai. Dan dia menyintai saya. Apa gunanya perkahwinan jika tidak ada rasa saling cinta mencintai antara satu sama lain." kataku berterus terang.


" Benar kata kau tu, Amri. Tetapi mak tidak kenal siapa gadis pilihan kau tu. Entah macam mana hati budinya. Siapa keluarga dan bagaimana keturunannya. Semuanya perlu kita selidiki kerana mak tidak mahu kau menyesal di kemudian hari nanti," ibu masih tidak berputus asa memujuk aku.


" Saya sudah lama berkawan dengan Hayati, Mak. Tambahan pula kami bekerja di tempat yang sama. Saya sudah tahu hati budinya dan saya sudah kenal rapat dengan keluarganya. Percayalah bahawa Hayati itu baik orangnya dan dia daripada keturunan yang baik pula," kataku cuba meyakinkan ibu.
" Masa bercinta ni semua nampak baik. Tetapi bila sudah berkahwin nanti barulah kau tahu keadaan yang sebenarnya. Mak tidak mahu kau menyesal nanti kerana berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan," balas ibu.
" Kenapa perkara itu yang mak nak persoalkan?. Bukankah mereka juga ada pegangan agama. Punya hati dan perasaan seperti kita. Apakah bezanya antara gadis Negeri Sembilan dengan gadis di negeri lain?" aku masih cuba meyakinkan ibu.


" Mereka dikongkong oleh Adat Perpatih. Mak sudah banyak mendengar cerita tentang keburukan mereka yang berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan!" ibu masih tidak mengubah fikirannya.
" Jangan dengar cerita orang, Mak," pujukku. " Saya sudah lama bergaul dengan masyarakat Negeri Sembilan. Mereka tidak seburuk seperti yang mak sangkakan. Percayalah cakap saya ni."
" Amri sudah besar. Biarlah dia buat pilihan sendiri. Baik katanya, baiklah kata kita. Dia bahagia, kita tumpang gembira," balas ayah.
" Nampaknya abang bersetuju dengan gadis pilihan anak kita tu?" tanya ibuku pula.
" Kita nak buat macam mana kalau orang yang punya diri sudah berkenan dengan budak tu. Amri yang nak berkahwin, bukannya kita. Lagipun anak kita tu sudah besar panjang. Sudah mampu mendirikan rumah tangga. Biarlah dia sendiri memilih calun isterinya. Baik kata Amri, baiklah kata saya. Orang nak mendirikan masjid, berdosa kalau kita menghalangnya." kata ayah.


" Tetapi, saya takut kalau Amri salah membuat pilihan. Banyak benar yang saya dengar tentang cerita gadis Negeri Sembilan. Itulah yang membuatkan saya susah hati. Menyesal kemudian tidak ada faedahnya." kata ibuku pula.
" Dengar suara enggang, makan buah beluluk. Dengar cerita orang, awak nanti yang masuk lubuk," kata ayah sambil ketawa.
" Janganlah ketawa. Saya susah hati ni," ujar ibuku.
" Kalau anak kita dah berkenan awak nak buat macammana?. Awak nak minta tolong kepada dukun Mamat supaya Amri membenci gadis Negeri Sembilan tu?" tanya ayah.


" Tidak sekejam itu hati saya ni, bang. Saya masih tahu hukum hakam agama kita. Cuma yang saya kuatir kalau benar seperti cerita yang saya dengar tu."
" Abang tidak kisah siapa orang yang dipilih oleh Amri untuk menjadi isterinya. Asalkan dia bahagia, sudah."
" Habis tu, macam mana saya nak buat, bang?" tanya ibu. Dia nampak gusar.
" Suruh Amri bawa budak tu ke rumah kita pada hari Ahad depan ni. Nanti kita sama-sama tengok bakal menantu kita tu. Lepas tu baru awak buat keputusan. Ini belum apa-apa lagi awak dah kata tidak setuju!" jawab ayah.
" Baiklah," kataku pula sambil tersenyum. "

Hari Ahad depan saya bawa gadis pilihan saya tu. Mak dan ayah boleh bertemu bual dengannya. Saya yakin mak dan ayah mesti berkenan dengan gadis Negeri Sembilan tu."
Pada pagi Ahad itu ayah dan ibuku tidak keman-mana. Mereka menanti kedatangan Gadis Negeri Sembilan. Masing-masing seolah tidak sabar lagi hendak melihat tetamu istimewa yang akan berkunjung ke rumah kami.
Tepat jam 11 pagi kereta yang kami naiki sampai di halaman rumah. Ayah dan ibu segera datang menyambut kami. Ibuku merenung Hayati seolah sedang membuat penilaian.


"Saya perkenalkan, inilah Hayati bakal isteri Amri," kataku memperkenalkan Hayati kepada ayah dan ibu.
" Apa khabar Mak Cik," tanya Hayati sambil mencium tangan ibuku.
" Baik..." jawab ibu sambil matanya terus merenung gadis di hadapannya.
" Kenapa biarkan mereka tercegat saja di laman rumah. Jemputlah tetamu kita tu naik," kata ayah pula.


Ibu menjemput Hayati naik ke rumah. Kami duduk di ruang tamu. Dan sejak tadi mata ibu masih tidak pernah lekang mengawasi gerakgeri Hayati. Mungkin ibu mahu melihat keburukan atau menilai kebaikan bakal menantunya. Tetapi aku yakin ibu tidak nampak cacat celanya gadis Negeri Sembilan yang menjadi pilihanku. Orangnya nampak baik dan berbudi bahasa. Dan hati ibuku merasa senang bila Hayati membantunya membuat kerja-kerja di dapur. Hayati juga yang menyediakan masakan tengahhari.


Ibu dan ayah nampak berselira menikmati makanan tengah hari. Gulai masak lemak cili api yang dimasak oleh Hayati benar-benar membuka selera. Selesai makan Hayati juga yang ke dapur membasuh dan mengemas pinggan mangkuk. Kemudian Hayati membantu mengemaskan rumah. Selesai menunaikan sembahyang Asar barulah kami meminta diri untuk pulang. Hayati sekali lagi bersalaman dengan ibuku.
" kalau begini baik budi bahasanya, mak setuju Hayati menjadi isteri kamu," kata ibu ketika aku dan Hayati masuk ke dalam kereta.


" Alhamdulillah…minggu depan giliran kami pulak ke rumah kamu, Hayati," balas ayah pula.
Itulah saat yang aku rasa paling gembira.

0 comments:

Post a Comment